Isnin, 3 Januari 2011

KENANGAN RAGAM MENGANDUNG

Setelah 5 bulan mendirikan rumahtangga, akhirnya aku disahkan hamil 6 minggu. Aku dijangka bersalin pada 12 Julai 2008. Sepanjang kehamilan aku mengalami morning sickness yang sangat teruk. Aku hanya mampu berbaring, tiada selera makan, pening kepala dan mabuk. Jika orang lain mabuk hanya 4 bulan pertama tetapi aku mabuk hingga masuk bulan ke 9 kehamilan. Aku diberi cuti rehat oleh doktor selama 2 minggu dan keadaan ini dipanggil “hyperemesis gravidarum”.

Pada 8 Julai, seperti biasa aku menjalani rutin pemeriksaan mingguan memandangkan kandungan yang telah menjangkau 40 minggu. Apabila diperiksa bukaan rahimku sudah 1cm. Apa lagi, petang hari tersebut aku mengajak ibu dan suamiku berjalan-jalan di kawasan taman permainan yang berdekatan untuk mempercepatkan proses kelahiran. Tak sabar rasanya aku ingin melahirkan bayi sulungku ini. Malamnya aku tidak berselera untuk makan nasi lalu aku meminta suami membelikan waffle dan jagung rebus sahaja. Sekitar jam 11 malam, perutku terasa sakit dan menegang selang setengah jam. Aku segera menghubungi suami yang tiada di rumah agar segera pulang. Sekitar jam 1 pagi sakit semakin kerap selang 10 minit. Lalu, kami mengambil keputusan untuk ke hospital bersalin.

Tiba di sana, pintu rahimku sudah terbuka sebanyak 3cm. Aku segera ditahan diwad bersalin. Sementara menunggu ketibaan doktor untuk pemeriksaan, suami yang setia menemani tidak henti-henti membaca beberapa surah al-Quran dan doa disisiku yang sedang menahan kesakitan. Sekitar jam 5 pagi jururawat yang memeriksaku berkata”dik, kalau dah tak tahan sangat, ambik epidural aje. Ada patient tu dah 8 cm pun ambik epidural juga”. Aku katakan padanya yang aku masih boleh menahan kesakitan tersebut. Jam 8 pagi bukaan rahimku sudah mencapai 8cm. Tiba-tiba terlintas difikiranku akan kata-kata jururawat sebentar tadi untuk mengambil epidural. Lalu aku memberitahu suami hajat tersebut dan dia segera memaklumkan pada jururawat yang bertugas.

Jam 9 pagi doktor bius tiba untuk memberi epidural akan tetapi setelah pemeriksaan dibuat, bukaan rahimku telah mencapai 10cm. Lalu doktor dan jururawat segera melakukan persediaan untuk proses kelahiran bayiku. Tepat jam 9.30 pagi lahirlah putera comel seberat 3.15kg. Kami menamakannya Muhammad Syahmi Muhaimin bin Sharizad. Terima kasih kepada doktor dan semua kakitangan Hospital Pakar An-Nur yang telah memberi layanan baik sepanjang aku berada di hospital. Alhamdulilah Syahmi semakin hari semakin bijak dan petah berkata-kata. Kadang-kadang aku berasa geli hati bila teringat kembali saat aku inginkan suntikan epidural tempohari. Walhal, setelah berjam-jam aku boleh menahan kesakitan, bukaan sudah mencapai 8cm baru aku mahukan epidural. Ternyata bayiku tidak mahu aku membuat suntikan tersebut. Kini, kami sekeluarga sedang menunggu kehadiran ahli baru dalam keluarga yang dijangka lahir pada Mac depan. Umi doakan agar Syahmi menjadi anak yang soleh dan berguna pada agama, bangsa dan negara.

Sekian Terima Kasih

0 comments:

Catat Ulasan


Design by Shahrisizwan